Beberapa bandar di Lembah Klang pagi ini mencatatkan kenaikan bacaan indeks pencemaran udara (IPU), dan indeks Pelabuhan Klang paling teruk, dengan catatan IPU 137 berbanding 131 pada 6 pagi.
Antara kawasan yang teruk dilanda asap itu adalah Banting dengan bacaan IPU 130, Kuala Selangor (110), Petaling Jaya (123), Shah Alam (125) dan Batu Muda di Kuala Lumpur (112).
Sementara itu, Nilai di Negeri Sembilan juga kini memasuki tahap tidak sihat dengan bacaan 109.
Bacaan IPU pada tahap 5-50 adalah baik, 51-100 (sederhana), 101-200 (tidak sihat), 201-300 (sangat tidak sihat) dan melebihi 300 (merbahaya).
Pencemaran udara di Putrajaya yang merekodkan bacaan pencemaran udara 110 semalam, berkurangan hari ini dengan bacaan sederhana 86.
Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia, Datuk Che Gayah Ismail sebelum ini menolak tanggapan bahawa pencemaran yang melanda Malaysia adalah disebabkan faktor luar atau letupan gunung berapi Sinabung di Sumatera, Indonesia.
Punca pencemaran didapati adalah kebakaran hutan, aktiviti kilang, kenderaan dan pembakaran terbuka, yang bertambah teruk dengan cuaca panas.
Ekoran aktiviti pembenihan awan oleh pihak berkuasa, beberapa kawasan awal pagi ini mengalami hujan. – 4 Mac, 2014.