BAB 5
MENYANYI riang puan Aisyah sewaktu
mengeluarkan pakaian yang sudah siap dibasuh tadi lalu dimasukkan ke dalam
bakul. Dia tersenyum senang hati bila mengenangkan suami dan anak-anak sudah
keluar bekerja. Bukan kata dia tak suka bila suami dan anak-anaknya ada, cuma
dia tak dapat bagi perhatian terhadap kerja rumah bila melayan makan minum
keluarga.
Terutama sekali si ayah yang manja mengalahkan
anak-anak. Boleh kata semua perkara puan Aisyah yang uruskan. Baik makan,
minum, nak mandi pun tuala disediakan, nak pakai baju disediakan pakaian atas
tilam. Belum masuk lagi massage service bila suaminya letih seharian
bekerja. Itu pun puan Aisyah sediakan juga. Pendek kata semua kerja remeh-temeh
yang orang dekat luar sana tak buat tapi puan Aisyah buat. Sebab itu encik
Wahid begitu sayang dan cintakan puan Aisyah kerana pengorbanannya tak
ternilai. Tak mungkin dia dapat isteri sesempurna puan Aisyah diluar sana.
Baju kotor milik suaminya dimasukkan ke dalam mesin
untuk dibasuh. Kemudian dia mengangkat bakul baju bersih untuk dijemur. Selipar
disarung seraya melangkah ke arah ampaian. Sehelai baju diambil lalu dikibas
berkali-kali. Kemudian baju tersebut disangkut pada ampaian.
“Hai cik Aisyah, tengah jemur baju ke?” Tegur puan
Arifah dengan mimik wajah sinis.
Puan Aisyah menjungkit kening seraya menyelak pakaian
yang disidai tadi. Senyuman terukir sinis pada jiran sebelahnya.