Ruang Iklan Untuk Disewa

Tidak perlu bayar saman AES, pergi ke mahkamah



Peguam Jawatankuasa Kempen Anti Saman Ekor (Kase), Zulhazmi Shariff berkata,  saman Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) tidak perlu dibayar tetapi perlu ke mahkamah.
Beliau berkata, mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987 tidak mengandungi arahan bahawa saman atau kompaun itu wajib dibayar.
Sehubungan itu, katanya, beliau meminta pemandu yang menerima saman AES supaya tidak membayar saman tersebut, sebaliknya hadir ke mahkamah.
Malah, beliau bersedia untuk mewakili mereka kerana terdapat saman yang sebelum ini dibatalkan oleh mahkamah.
"Pemangku Menteri Pengangkutan Datuk Seri Hishammuddin Hussein mengeluarkan arahan membayar saman dengan kadar yang baru iaitu RM150 tetapi jumlah itu akan meningkat jika engkar arahan.
"Saya cabar Hishammuddin tunjukkan dalam akta tersebut yang mengarahkan saman itu perlu dibayar, kalau dia boleh tunjuk sepatah ayat mengatakan bahawa saman atau kompaun perlu (wajib) dibayar, saya akan membayar semua saman AES  yang dikeluarkan," katanya seperti dilaporkan Harakahdaily.
Zulhasmi berkata demikian sebagai mengulas tawaran Pemangku Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Hishamudin Husein yang menawarkan potongan 50 peratus untuk saman itu.
Hishamudin berkata, pengguna yang mempunyai saman AES hanya perlu membayar RM150 berbanding RM300 sebelum ini bagi setiap kesalahan.
"Kompaun tidak wajib dibayar. Saman AES ialah perintah supaya hadir mahkamah bukan minta dibayar RM300 atau RM150 atau berapa sekali pun.
"Jika penerima saman tidak membayar kompaun, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM) jika telah diserahkan kepada PDRM, tidak boleh menyenarai hitam kerana saman itu tidak tertunggak selagi tidak dibawa ke mahkamah.
"Sekarang prosiding AES di mahkamah masih ditangguhkan, jadi tiada apa-apa tindakan boleh diambil jika penerima saman abaikan saja saman tersebut.
"Yang tidak mahu ke mahkamah itu ialah Peguam Negara bukan penerima saman. Jadi kenapa penerima saman hendak dihukum atas tindakan Peguam Negara yang tidak mahu ke mahkamah," katanya.
Zulhazmi berkata, keputusan itu kerana kerajaan perlu membayar kepada syarikat pembekal mengikut perjanjian yang dipersetujui.
Katanya, atas sebab pemandu yang kena saman AES tidak dapat didakwa dan terdapat  saman yang dibatalkan di mahkamah kerana mempunyai masalah teknikal daripada sudut pendakwaan, maka kerajaan mengugut pemandu membayar saman supaya syarikat pembekal mendapat bayaran.
"Saya pasti kerajaan terdesak untuk bayar kepada syarikat pembekal, jika sebelum ini setiap satu saman mereka akan dapat RM16 dan jumlah denda sekarang RM150 sudah pasti pembekal mendapat RM8.
"Untuk kerajaan tidak membayar komisen itu adalah mustahil kerana ia terkandung dalam perjanjian, dan jika benar kerajaan tidak mahu bayar, satu jumlah pampasan yang besar perlu dikeluarkan untuk kos ganti rugi mereka," katanya. – 19 September, 2013.

Disable right click

Kira Visitor

Lazada Malaysia